Pasukan forensik melakukan siasatan berhubung kejadian helikopter Jenis Bell 206-L4 terbakar dan terhempas selepas hilang kawalan yang mengakibatkan jurutera maut di Bentong Fruits Farm jalan lama Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 FEBRUARI 2025

KUALA LUMPUR -MHS Aviation mengesahkan helikopter yang terlibat dalam nahas di Tapak Pendaratan Helikopter II, Bentong, Pahang hari ini merupakan helikopter yang dipajak syarikatnya.

Syarikat itu menerusi kenyataan berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa penerbangan yang berkaitan bagi menyiasat punca kejadian.

“Situasi dikawal dengan segera dan tiada lagi ancaman terhadap keselamatan.

“Bagaimanapun, kami amat kesal untuk melaporkan bahawa seorang petugas di darat telah meninggal dunia,” katanya.

Menurut syarikat itu, identiti mangsa tidak akan didedahkan bagi menghormati keluarga sehingga dimaklumkan kelak.

Dalam masa yang sama MHS Aviation berkata pada waktu keutamaan pihaknya adalah memberi sokongan kepada keluarga mangsa yang terlibat.

“Kami akan memberikan maklumat lanjut dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Terdahulu,  Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan satu kemalangan yang melibatkan sebuah helikopter Bell 206L4, nombor pendaftaran PK-ZUV, di tapak pendaratan helikopter berhampiran Bentong, Pahang, hari ini pada jam 10.26 pagi tadi.

Helikopter tersebut, yang disewa dan dikendalikan oleh MHS Aviation Berhad, sedang menjalankan penerbangan kerja udara.

Maklumat terakhir yang dilaporkan oleh pengendali kepada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan (FIS) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada jam 10.18 pagi memaklumkan bahawa helikopter itu sedang kembali ke tapak pendaratan.

Kemalangan tersebut mengorbankan seorang kru darat, manakala juruterbang helikopter dilaporkan selamat.

CAAM berkata, siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia selaras dengan Peraturan Penerbangan Awam 2016, Bahagian XXVI.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here