KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke digesa supaya memberi kerjasama dalam proses siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Pengerusi Biro Penerangan MCA, Chan Quin Er berkata, Anthony seharusnya berhenti bermain politik dan mengutamakan kehendak dan kepentingan rakyat yang mahu kebenaran ditegakkan.
“Anthony harus bertenang dan berani berhadapan PAC dan harus menjawab serta memberi penjelasan berkenaan isu urus niaga saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Bidasan Anthony bahawa tindakan PAC memanggilnya bermotif politik dan berniat mewujudkan persepsi negatif kerana beliau adalah seorang Menteri dari DAP disifatkan sebagai sombong dan tidak menghormati PAC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, biarpun Anthony memberi alasan bahawa MAHB adalah sebuah syarikat tersenarai dan bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT), namun tidak wajar melepaskan tangan begitu sahaja.
“MOT masih bertanggungjawab ke atas pembangunan dan pengurusan lapangan terbang awam di dalam negara.
“Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut menjelaskan bahawa skop prosiding bukan sahaja terhad kepada isu MAHB dan KWSP, tetapi juga merangkumi isu kenaikan harga tiket penerbangan dan masalah kelewatan membabitkan aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.
Jelasnya, sebelum ini, Presiden MCA Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong merangkap mantan Menteri Pengangkutan juga pernah dipanggil PAC.
“Ka Siong dipanggil untuk memberi penjelasan berkenaan isu pelupusan tempoh hayat vaksin Covid-19, pembelian peralatan ventilator yang tidak boleh diguna, dan peralatan perlindungan diri (PPE) berlebihan.
“Biarpun MOT hanya bertanggungjawab mengangkut barang-barangan tersebut, namun Ka Siong tenang sahaja hadir untuk memberi penjelasan tanpa membangkitkan dakwaan kononnya ada motif politik,” ujarnya lagi.
Tambah Quin Er lagi, isu jual-beli saham MAHB yang menyebabkan kerugian lebih RM500 juta dalam tempoh yang singkat telah membangkitkan kebimbangan rakyat selaku pencarum KWSP.
“Mereka (PAC) mahu penjelasan sama ada wujudnya unsur-unsur salah guna kuasa, pelanggaran peraturan saham, dan adakah caruman mereka dilindungi daripada kerugian besar seperti ini,” katanya.
Terdahulu, Mas Ermieyati ada membuat kenyataan balas Anthony yang mempersoal tindakan PAC untuk memanggilnya. – MalaysiaGazette