Mohd Fared (tengah) selepas menyerahkan replika cek dalam Majlis Pelancaran Bantuan Pendidikan dan MoU bersama PTPTN di Horizon Hill, di Iskandar Puteri semalam.

ISKANDAR PUTERI – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) merekodkan kutipan RM412 juta pada tahun lalu iaitu hasil zakat tertinggi dalam sejarahnya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, jumlah kutipan itu melepasi sasaran awal yang ditetapkan iaitu RM400 juta.

“Kita percaya ini adalah hasil daripada keberanian MAINJ membuat penyebaran maklumat bukan sahaja menerusi media massa malah menggunakan platform media digital iaitu satu pendekatan terbaik kepada masyarakat.

“Memandangkan pertumbuhan yang positif ini, MAINJ meletakkan sasaran kutipan zakat sebanyak RM430 juta pada tahun ini. Ini sasaran yang wajar untuk kita menyasarkan kenaikan RM20 juta lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bantuan Pendidikan dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Horizon Hill, di sini semalam.

Turut hadir Penasihat MAINJ, Datuk Dr Nooh Gadot dan Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad.

MoU antara MAINJ dan PTPTN itu adalah satu perjanjian dalam melaksanakan skim perlindungan takaful kepada 341 pelajar yang berada di Mesir dan Jordan dengan jumlah belanja sebanyak RM360 setahun.

Kerjasama itu bagi menggalakkan pelajar membuat tabungan di samping dilindungi faedah yang terdapat dalam perlindungan takaful sepanjang tempoh berada di luar negara.

Mohd Fared berkata, MAINJ diharap untuk menyantuni lebih ramai komuniti seperti kelab kereta dan motosikal berkuasa tinggi dalam berkongsi maklumat tentang perihal wakaf, zakat dan juga infaq supaya mereka juga termaklum.

Katanya, pihaknya percaya dengan kaedah tersebut akan dapat membuka jalan kepada komuniti berkenaan untuk menunaikan kewajipan mereka.

“Kadang-kadang apa yang kita salah faham tentang orang ramai ini adalah kerana tidak mendekati mereka. Bagi pihak MAINJ, kita perlu mendekati sebanyak mungkin kumpulan komuniti yang kita yakin mereka mempunyai kekukuhan dari segi ekonomi dan kewangan.

“Ini bukan sahaja nak minta mereka menunaikan tanggungjawab untuk infaq dan berzakat sebaliknya mendapatkan idea dan saranan kepada MAINJ untuk tambah baik dari segi pentadbiran dan tatakelola,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here