Sebagai sebuah institusi yang berlandaskan kefahaman Islam yang sahih, Radio IKIMfm mengamalkan garis panduan ketat dalam mengundang panel jemputan untuk bersiaran.

KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya kandungan yang disampaikan panel undangan serta pengiklanan di stesen Radio Ikimfm bercanggah dengan fakta kesihatan adalah tidak tepat.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, berdasarkan siasatan dalaman dakwaan tersebut juga tidak berlaku di stesen Radio Ikimfm.

“Sebagai sebuah institusi yang berlandaskan kefahaman Islam yang sahih, Radio IKIMfm mengamalkan garis panduan ketat dalam mengundang panel jemputan untuk bersiaran di stesen radio kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Azam, setiap panel yang dijemput mesti memenuhi kriteria yang termaktub dalam Garis Panduan Tetamu Luar Bersiaran di Pusat Media IKIM iaitu:

1. Kelayakan dan Pengalaman: Panel jemputan mestilah individu yang mempunyai kelayakan akademik yang relevan atau pengalaman luas dalam bidang yang dibincangkan.

2. Kepatuhan kepada Pegangan Islam yang Sahih: Setiap panel perlu memastikan pandangan mereka selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak bertentangan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negara.

3. Pematuhan Etika Penyampaian: Panel tidak dibenarkan membuat kenyataan yang boleh mengelirukan pendengar atau menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat.

Selain itu, katanya, Radio IKIMfm juga mempunyai Prosedur Siaran Pengiklanan bagi memastikan setiap iklan yang disiarkan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta piawaian syariah yang ditetapkan oleh IKIM sendiri.

Semua iklan yang disiarkan di Radio IKIMfm juga, katanya, telah melalui proses tapisan yang ketat oleh Jawatankuasa Kelulusan Iklan bagi memastikan kandungan pengiklanan tidak bercanggah dengan fakta kesihatan atau mengandungi unsur yang boleh mengelirukan pendengar.

“Radio IKIMfm sentiasa komited untuk menyampaikan maklumat yang sahih, bermanfaat dan berpaksikan kepada ajaran Islam yang sebenar.

“Kami menghargai setiap maklum balas daripada pendengar dan masyarakat serta akan terus memastikan kandungan yang disiarkan memenuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here