RAWANG – Tidak mematuhi lampu isyarat antara kesalahan terbanyak yang direkodkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor sepanjang pelaksanaan Operasi Penyamaran sempena Tahun Baharu Cina 2025.
Timbalan Pengarahnya, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, sebanyak 127 kesalahan direkodkan daripada jumlah keseluruhan 298 sepanjang operasi tersebut.
“Kesalahan ini boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 72 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika melanggar atau gagal mematuhi sesuatu perintah di bawah seksyen ini tanpa sebab yang sah boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih daripada RM2,000.
“Dalam operasi, kesalahan berjadual lain turut direkodkan adalah memandu di lorong kecemasan (66), memandu di lorong kanan secara berterusan (39), tidak memakai topi keledar (35), menggunakan telefon bimbit (21), tiada lesen memandu dan insurans (10),” katanya.
Beiau berkata demikian dalam sidang media sempena Operasi Penyamaran Khas sempena Tahun Baharu Cina di Hentian Rehat dan Rawat Rawang arah utara di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Kamarunzaman berkata, kesalahan-kesalahan ini dikesan hasil penyamaran yang dilaksanakan oleh JPJ.
“Antara kaedah digunakan adalah kita melaksanakan pemantauan di lokasi-lokasi tumpuan dengan menggunakan kenderaan tidak berlogo dan tidak memakai pakaian seragam.
“Kenderaan yang dikesan melakukan kesalahan akan segera ditahan sebelum tindakan saman dikeluarkan terhadap mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, operasi khas itu dilaksanakan sebagai usaha bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya di musim perayaan ini.
“Pematuhan peraturan jalan raya penting untuk memastikan keselamatan semua pengguna bagi memastikan kelancaran perjalanan ke destinasi yang dituju.
“Selain itu, dengan penguatkuasaan dan pemantauan secara berterusan ini, kita mahukan kehadiran JPJ sentiasa dirasai oleh semua pengguna dan masa sama memastikan tiada berlakunya sebarang pelanggaran peraturan ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette