KUALA LUMPUR – Lebih RM50 juta telah dibelanjakan oleh 700,000 penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kategori miskin dan miskin tegar bagi pembelian barangan keperluan asas di lebih 1,600 pasaraya dan kedai runcit terlibat, setakat semalam.
Timbalan Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sumbangan tersebut telah pun disalur kepada penerimanya pada 15 Januari lalu melalui MyKad di dalam rekod e-Kasih.
Bagi tahun 2025, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad turut diperluaskan ke negeri Sabah dan Sarawak berbanding hanya di negeri-negeri Semenanjung Malaysia pada tahun lalu.
“Kerajaan kekal komited dan sentiasa memantau situasi semasa dalam memastikan bantuan tunai langsung disalurkan kepada golongan rentan dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan pendekatan kerajaan memperluaskan program SARA dengan menyalurkan bantuan melalui kad pengenalan MyKad untuk tahun 2025 berbanding dengan kaedah STR secara tunai.
Mengulas lanjut Amir Hamzah berkata, pemberian sumbangan itu diseragamkan menerusi mekanisme penambahbaikan berbanding tahun lepas itu penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Penambahbaikan kepada SARA ini merangkumi sebahagian daripada peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA ke tahap tertinggi dalam sejarah, iaitu RM13.0 bilion berbanding RM10.0 bilion pada tahun lalu.
Selain daripada itu katanya, seramai 5.4 juta penerima STR turut akan menerima bantuan tambahan SARA mulai April ini.
“Ini terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima STR.
“Bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan manakala golongan warga emas tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan.
Dalam pada itu beliau berkata, antara strategi pelaksanaan SARA dalam memastikan bantuan berkenaan diterima adalah penerima SARA akan menerima bantuan tanpa tunai melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima.
Pemakluman sesi on-boarding kepada penerima baharu SARA juga akan dilakukan bagi memberi penerangan mengenai kaedah pembelian menggunakan MyKad di pasar raya dan kedai runcit yang terlibat.
Turut dilakukan kata beliau, hebahan melalui surat makluman, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan WhatsApp kepada penerima yang layak selain semakan kendiri di Portal STR dan SARA.
“Keempat, kerjasama erat dengan Pejabat Pembangunan Negeri seluruh Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah serta Kerajaan Negeri Sarawak dalam menghebahkan program SARA di peringkat lapangan termasuk di kawasan pedalaman,” tambahnya. – MalaysiaGazette