Wednesday, March 5, 2025
Home Nasional MyCC siasat 13 kes kartel tipuan bida bernilai RM2.3 bilion

MyCC siasat 13 kes kartel tipuan bida bernilai RM2.3 bilion

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berbahas pada Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat pertama penggal ketiga parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 FEBRUARI 2024.
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat 13 kes berhubung dakwaan kartel tipuan bida yang melibatkan 561 perusahaan dengan nilai mencecah RM2.3 billion.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali yang mendedahkan perkara itu berkata, bermula 2024, MyCC menggerakkan strategi khusus untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap satu daripada cabang aktiviti kartel sejak sekian lama iaitu pakatan tipuan bida.
Menurutnya, ikhtiar mengekang aktiviti itu penting, bagi memastikan ia tidak menggagalkan usaha kerajaan dalam memberikan keutamaan kepada kaedah tender dalam tadbir urus perolehan yang telus, sejajar usaha Kerajaan Madani untuk memperkukuh tatakelola sistem penyampaian perkhidmatan awam.
“Tindakan yang telah diambil kerajaan ke atas syarikat yang melaksanakan amalan antipersaingan, mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem persaingan yang sihat dalam pasaran.
“Ini sekali gus akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan kualiti, mewujudkan pilihan dan harga barangan yang munasabah serta perkhidmatan yang kompetitif, demi kepentingan pengguna,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai keberkesanan MyCC dalam menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) serta jumlah siasatan yang telah membawa kepada pendakwaan dan sabitan kesalahan yang berjaya bagi tempoh 2014 hingga 2024.
Antara sektor yang terlibat dengan tender tipuan bida ialah perkhidmatan, utiliti, pembinaan, makanan dan minuman serta teknologi maklumat.
Armizan menambah, sejak Akta 712 berkuat kuasa, MyCC sebagai sebuah badan bebas dan separa kehakiman di Malaysia telah menjalankan penyiasatan terhadap 339 perusahaan yang terlibat dalam pelbagai industri antaranya pengangkutan, pengilangan, makanan, perkhidmatan, pendidikan, insurans, pertanian dan perolehan awam.
Beliau berkata, hasil daripada penyiasatan itu, MyCC telah mengeluarkan keputusan dapatan pelanggaran di bawah Seksyen 40 akta tersebut, yang melibatkan 14 kes meliputi 259 perusahaan.
“Sebanyak 257 perusahaan didapati terlibat dalam aktiviti kartel dan dua perusahaan didapati menyalahgunakan kedudukan monopoli. Kesemua keputusan tersebut telah menghasilkan penalti kewangan sebanyak RM571.5 juta,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Leong mengenai langkah yang diambil kerajaan untuk memperkasakan Akta 712, Armizan berkata kementerian kini dalam proses meminda akta itu khususnya dalam konteks memperkukuh dan memperkemas proses penguatkuasaan serta memperkenalkan Rejim Kawalan Penggabungan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast