Persatuan Aliran Kesedaran Negara (Aliran).

KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aliran mendesak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengurangkan perbelanjaan sendiri terlebih dahulu sebelum menaikkan tarif elektrik.

Jawatankuasa Eksekutif Aliran dalam satu kenyataan berkata, sebagai permulaan, TNB patut bermula dengan imbuhan peringkat tertinggi TNB yang menikmati yuran dan faedah pengarah lumayan selama ini.

Dakwanya, para Pengarah TNB menerima kira-kira RM7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 termasuk RM3.9 juta yang dibayar kepada Pengarah Eksekutif.

Selain itu, tambahnya, Pengarah Bukan Eksekutif TNB pula menerima yuran RM20,000 sebulan dan jumlah faedah RM1.8 juta setahun.

“Kerajaan perlu mengarahkan TNB melakukan ‘khidmat negara’ dengan mengurangkan gaji, elaun dan faedah peringkat tertingginya sebelum menaikkan tarif,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, Aliran turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB menjelaskan mengapa TNB perlu menaikkan tarif sedangkan keuntungan syarikat itu melonjak sejak kebelakangan ini.

Sebagai contoh, katanya, dalam sembilan bulan pertama tahun lalu, pendapatan bersih TNB meningkat kepada RM3.7 bilion iaitu lonjakan 71 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Dalam masa sama, Aliran turut menggesa kerajaan mempercepatkan peralihan kepada tenaga solar untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

Jelasnya, kerajaan perlu memperkenalkan insentif dan subsidi yang lebih baik kepada pengeluar panel solar dan orang ramai sekali gus mempercepatkan peralihan kepada tenaga solar.

“Ini bukan sahaja akan meringankan beban tarif kepada pengguna tetapi juga membantu negara mencapai sasaran perubahan iklim,” katanya.

Dalam masa sama, Aliran melahirkan rasa bimbang berhubung kesan ke atas kos sara hidup yang timbul daripada rancangan kerajaan untuk menaikkan tarif elektrik itu menjelang Julai depan.

Ujarnya, tarif yang lebih tinggi untuk industri akan mencetuskan reaksi berantai apabila perniagaan memindahkan sebarang kenaikan kos kepada pengguna.

“Jika kerajaan benar-benar memerlukan lebih dana untuk perbelanjaan sosial, seperti yang didakwa Perdana Menteri, ia perlu memberi tumpuan untuk menjadikan sistem percukaian kita lebih progresif, contohnya kadar cukai pendapatan yang lebih tinggi untuk kumpulan teratas dan cukai keuntungan windfall untuk syarikat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here