Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang baharu pada 15 Januari lalu adalah selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh keberkesanan komunikasi strategik dan pengurusan naratif.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menegaskan perkara itu berkata, usaha berkenaan penting dalam memperkasa penyampaian dasar, program dan inisiatif kajian kepada rakyat.

Katanya, J-KOM juga telah mengemas kini fungsi baharu jabatan selari dengan perubahan visi dan misi baharunya.

“Perubahan visi dan misi ini telah dirangka dengan teliti bagi memastikan jabatan ini mampu memenuhi keperluan semasa dan cabaran masa depan.

“Antara fungsi baharu jabatan ialah memastikan maklumat berkaitan dasar kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan ke peringkat komuniti,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Fahmi menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta kerajaan menyatakan sejauh manakah rombakan fungsi terhadap J-KOM.

Mengulas mengenai fungsi J-KOM, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan memberitahu, aspek berkenaan diperkemas bagi memperkukuhkan hubungan antara kaum melalui program.

Jelasnya, ia penting bagi memastikan kestabilan sosial serta mengurangkan konflik yang mungkin timbul akibat perbezaan pandangan.

“Perubahan visi, misi dan fungsi jabatan dijajarkan semula bagi mencapai hala tuju baharu jabatan yang akan menekankan komunikasi inklusif dan efektif dengan strategi yang menghargai kepelbagaian masyarakat.

“Ia termasuk menggunakan pelbagai medium sebaran dalam meningkatkan kesedaran dan penglibatan masyarakat,” katanya.

Terdahulu sebelum ini, media melaporkan Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) J-KOM, Datuk Ismail Yusop dilantik sebagai Ketua Pengarah JKOM yang baharu.

Pelantikan Ismail adalah untuk mengisi kekosongan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Dr Mohd Khairuddin Othman ditamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah JKOM pada September 2023.

Mohd Khairuddin yang juga Setiausaha PKR Selangor dilantik sebagai Ketua Pengarah JKOM bermula 1 Mac 2023 mengisi kekosongan jawatan itu yang sebelumnya disandang oleh Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusof. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here