KUALA LUMPUR – Peluang untuk menyambung pengajian dalam TVET terbuka sepanjang tahun dengan pelbagai pilihan fleksibel melalui Sistem UP_TVET khususnya bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sudah menamatkan peperiksaannya hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sistem UP_TVET Flexi telah dibuka sejak Januari 2025 membolehkan individu mengikuti latihan kemahiran secara modular dan anjal, mengikut kesesuaian jadual masing-masing.
“UP_TVET Perdana bagi Kursus Sepenuh Masa Ambilan Julai 2025 pula akan dibuka untuk permohonan pada April 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, di Malaysia, terdapat 1,398 institusi TVET, merangkumi 673 institusi TVET awam, 697 institusi TVET swasta dan 28 institusi TVET di bawah kerajaan negeri.
“Ekosistem TVET yang dinamik dan luas ini menawarkan pelbagai bidang kemahiran yang relevan dengan keperluan industri dan pasaran kerja semasa.
“Sebanyak 280 institusi di bawah KKDW, termasuk Mara Kemas, Jakoa, Perda, Keda, RISDA dan Ketengah menawarkan 529 program dari peringkat Sijil Kemahiran hingga Ijazah Kedoktoran, meliputi 15 kluster bidang kritikal untuk pasaran kerja semasa.
“Kerangka Sistem Pendidikan TVET KKDW telah melahirkan ramai tenaga mahir, profesional, teknologis dan usahawan yang berjaya,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, kadar kebolehpasaran graduan TVET KKDW sudah mencapai 98 peratus pada tahun 2024, sekali gus membuktikan TVET bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan yang luas, tetapi mampu membentuk masa depan yang lebih cerah.
“Kerajaan komited memastikan akses pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti kepada semua lapisan masyarakat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette