Mohd Yussof Latiff.

GEORGE TOWN – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menggesa semua ahli Parlimen menjaga tutur kata semasa berbahas di Dewan Rakyat selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mahu kelakuan lebih sopan dan beradab dalam perbahasan Parlimen.

Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff, menyatakan rasa kecewa terhadap sikap segelintir ahli Parlimen yang menjadikan Dewan Rakyat sebagai tempat untuk bertengkar, maki hamun dan menjerit.

Tegasnya, tingkah laku sedemikian memberi kesan buruk kepada imej Dewan Rakyat dan mencemarkan reputasi wakil rakyat yang seharusnya memberi contoh teladan kepada rakyat, terutamanya generasi muda.

“Rakyat semakin jemu, kecewa dan bosan dengan sikap ahli Parlimen yang seolah-olah lupa bahawa mereka adalah wakil rakyat yang bertaraf ‘Yang Berhormat’.

“Malah, titah Yang di-Pertuan Agong adalah peringatan kepada semua ahli Parlimen supaya mengamalkan budaya politik yang lebih matang dan profesional demi kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, perbahasan di Parlimen sepatutnya lebih fokus kepada idea-idea konstruktif dan bukan pertelingkahan yang membuang masa serta membebankan rakyat.

“Kerajaan dan pembangkang harus berfungsi secara profesional, tanpa perlu bertengkar atau menjerit dalam Dewan Parlimen. Ini adalah soal keharmonian dan kredibiliti sistem demokrasi kita.

“Justeru saya berharap agar semua pihak dapat memperbaiki tingkah laku mereka di Parlimen dan berpegang pada prinsip politik yang matang demi menjaga kemuliaan Dewan Rakyat dan kesejahteraan negara,” katanya.

Pada 3 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk mengutamakan perbahasan demi kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.

Baginda bertitah, Parlimen adalah gelanggang pertemuan suara rakyat jelata, tempat di mana undang-undang digubal, dan medan semak dan imbangke atas pentadbiran negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here