Ustaz Ahmad Husam Baderudin
Ustaz Ahmad Husam Baderudin

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas Ustaz Ahmad Husam Baderudin tidak menolak  terpaksa menutup pusat pengajian tahfiz di bawah kelolaannya berikutan  tindakan sabotaj oleh pihak tertentu.

Tindakan itu kemungkinan yang terpaksa dilakukannya berikutan tindakan sekumpulan aktivis politik yang membuat laporan polis terhadap yayasan yang membiayai pusat pengajian tahfiznya Mahad Tahfiz Ar Riyaadah.

Susulan pembekuan akaun terhadap yayasan itu, Ahmad Husam berkata, mereka menghadapi kesukaran untuk membayar gaji pekerja serta kos operasi.

Selain pusat tahfiz, beliau juga mengendalikan pusat jagaan warga emas dan guru pondok secara percuma.

“Saya rasa maahad tahfiz saya pun tak lama dah, sebulan dua lagi saya tutup operasi sepenuhnya. Sebab ada macam-macam masalah saya pun tak larat.

“Macam-macam orang kacau, orang tak puas hati nak duit kami buat laporan polis, nak duit anak yatim, nak duit pelajar tahfiz pergi buat laporan polis. Lepas tu akaun kami sekarang ini kena beku.

“Mungkin dalam sebulan dua lagi saya tutup sepenuhnya operasi maahad tahfiz saya dan saya akan maklumkan asnaf-asnaf yang saya jaga, ada tok-tok pondok yang saya jaga, ada anak-anak yatim, fakir miskin,” katanya, hari ini.

Pada 5 Movember tahun lalu, seorang aktivis politik antara tiga lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah.

Lelaki berusia antara 30-an hingga 50-an itu didakwa meminta wang daripada seorang pendakwah selebriti kononnya bagi membantu menyelesaikan kes pengubahan wang haram (AMLA) yang dalam siasatan polis.

Difahamkan, ketiga-tiga lelaki itu ditahan antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang semalam dalam operasi sekitar Bedong, Sungai Petani dan di Pejabat SPRM Kedah.

Sementara itu, Ahmad Husam berkata, beliau terpaksa membuat laporan kepada SPRM kerana tidak tahan dengan gangguan kumpulan berkenaan.

“Saya tak tahan diganggu, tu yang saya buat laporan SPRM baru-baru ini. Saya buat laporan SPRM baru ini dan SPRM telah cekup orang yang nak duit tu, aktivis politik,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Ahmad Husam berkata, beliau terpaksa menjual tanah dan membuat pembiayaan semula kediamannya bagi membiayai kos operasi termasuk membayar gaji kakitangannya.

Katanya, pusat tahfiznya di Alor Setar terpaksa ditutup selama dua minggu lalu kerana tidak mampu membayar bil elektrik yang dipotong susulan pembekuan akaun.

Ahmad Husam berkata, penjelasan ini penting supaya orang ramai memahami situasinya kerana operasi pusat tahfiz dan pusat jagaan warga emasnya menggunakan sumbangan orang ramai.

Bagaimanapun beliau akan berusaha untuk mempertahankan pusat tahfiz yang telah dibina sejak sekian lama itu terus beroperasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here