KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran membincangkan garis panduan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam di peringkat Kabinet terlebih dahulu.
Ahli Parlimen kerajaan, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong berkata, selepas itu barulah garis panduan itu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan sebelum sebarang keputusan dilaksanakan.
Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, ini kerana pengumuman secara tanpa perancangan awal di Dewan Rakyat akan menimbulkan pelbagai reaksi dan menimbulkan kekeliruan.
“Jadi saya minta supaya kerajaan sama ada perkara ada dibincang dalam Kabinet perhalusi di Kabinet dahulu baru kita bincang. Kalau tidak, kita buat adhoc pengumuman macam ini, macam-macam reaksi kalau pergi menghadiri upacara pengebumian perlu dapat kelulusan daripada Jakim.
“Kalau saudara saya meninggal dan saya ada saudara Islam, dia datang dan terus masuk peluk dengan kita. Sebab apa? Kerana kita dalam satu keluarga, Jadi budaya dan agama bagaimana kita hendak bezakan? Perspektif lain-lain, itulah rayuan saya,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang berkata, kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baharu bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.
Semalam dalam jawapan bertulis, Mohd. Na’im berkata, kerajaan akan mengeluarkan Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Sambutan Perayaan Dan Upacara Kematian Orang Selain Islam Serta Kunjungan Dan Penganjuran Majlis Di Rumah Ibadat Selain Islam.
Beliau berkata, garis panduan itu akan menggariskan tentang penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan orang selain Islam.
Antara lain katanya, penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.
Tambah Mohd. Na’im, garis panduan itu akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126 yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari ini.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, masih ramai yang keliru apabila membabitkan upacara yang disambut bukan Islam antara seperti sambutan Tahun Baharu Cina.
Jelas beliau, sambutan itu sebenarnya bukan upacara keagamaan sebaliknya kebudayaan.
“Tapi saya hendak ingatkan, mungkin ramai masih ingat Tahun Baharu Cina adalah satu upacara keagamaan, sebenarnya ia adalah kebudayaan.
“Jadi ia tergolong dalam mana? Jakim atau Kementerian Kebudayaan? Sebab Tahun Baharu Cina hari ini adalah perayaan orang Hokkien, inilah hari raya pertama. Tetapi semalam kita ajak kawan-kawan Melayu datang ke rumah dan sudah letak tempat sembahyang.
Tapi kita tidak minta orang Islam pergi sembahyang. Tapi dia bukan sembahyang tetapi acara kebudayaan. Bagaimana kita buat satu garis panduan dengan jelas. Yang penting keharmonian kaum itu terjaga. Kita ini dalam satu konteks masyarakat majmuk, kita kena jaga keharmonian masyarakat semua kaum,” katanya. – MalaysiaGazette