KUALA LUMPUR – Markas Angkatan Tentera Malaysia melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau situasi dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan anggota Malaysia di Republik Demokratik Congo (DRC).
Cawangan Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Bersama berkata, semua Pegawai Staf Tentera (PST) serta Pegawai Pemerhati Tentera (PPT) Malaysia yang terlibat dalam Misi Stabilisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Republik Demokratik Congo (MONUC) berada dalam keadaan selamat dan sihat, dengan situasi keseluruhan yang terkawal.
Keanggotaan dalam pasukan Angkatan Tentera Malaysia yang bertugas di MONUSCO terdiri daripada lapan orang, termasuk pegawai dan anggota dan ditempatkan di FHQ MONUSCO, Lava Site di Goma, serta di Team Site (TS) KTJ.
Cawangan Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Bersama berkata, pemberontak M23 telah menguasai sepenuhnya Bandar Goma, termasuk Lapangan Terbang Goma yang menempatkan Force HQ (FHQ) MONUSCO, mencetuskan ancaman kepada keselamatan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan protes ganas di Kinshasa.
Konflik di timur DRC berpunca daripada eksploitasi sumber mineral, ketegangan etnik, kelemahan kerajaan, dan campur tangan pihak luar.
M23 mendakwa perjuangan mereka berasaskan kepentingan politik dan keselamatan etnik Tutsi, dengan penglibatan Rwanda menambah ketegangan.
Sejak 2 Februari lalu, keadaan sedikit tenang, dan M23 mengisytiharkan genjatan senjata secara unilateral pada 4 Feb 25 atas faktor kemanusiaan.
Menurutnya, PBB dan masyarakat antarabangsa perlu menilai semula strategi terhadap MONUSCO serta meningkatkan usaha diplomasi bagi mencapai penyelesaian yang berkekalan.
MONUSCO ditubuhkan pada 1 Julai 2010, menggantikan Misi PBB di Congo (MONUC) yang beroperasi sejak 1999 bertujuan menstabilkan di DRC selepas konflik berpanjangan, melindungi orang awam, menyokong proses politik, serta membantu pembinaan semula negara.
Dengan mandat yang lebih kukuh, MONUSCO dilengkapi pasukan intervensi khas untuk menangani kumpulan bersenjata.
Pertukaran pegawai dan anggota adalah mengikut penjawatan dalam tempoh masa setahun.- MalaysiaGazette