Anwar Ibrahim berucap pada majlis peluncurkan Sistem e-SelfAudit bagi pengauditan syarikat kerajaan hari ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan penilaian kendiri melalui sistem e-SelfAudit syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berhad menurut jaminan (CLBG) bukan untuk mencari kesalahan.

Sistem yang mengguna pakai kecerdasan buatan (AI) dan telah dilancarkan sejak November tahun lalu itu membolehkan syarikat terbabit kembali kepada fungsi asal penubuhannya.

“Saya beri jaminan inisaitif kita ini bukan untuk mencela atau meragui, yang jalankan prestasi baik, harus teruskan tak perlu ada gangguan, dan bukan bermaksud untuk melecehkan kerja, mengutip hal-hal titik bengik.

“Saya sering dapat laporan Ketua Audit Negara, kalau hal-hal teknikal tak ambil kisah, yang kita nak tekankan supaya syarikat ini balik kepada fungsi asal jangan ada pertindihan, jangan ada kelulusan yang melanggar prinsip tatakelola dan apa lagi kesilapan audit.

“Pertimbangan ini ditekankan kerana kadang-kadang syarikat GLIC ini pun, harus diperingatkan dia syarikat milik kerajaan,  bukan milik swasta, tidak boleh fikir mengikut kepompong polar pemikiran swasta yang fokus keuntungan,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam ucapan peluncurkan inisiatif baharu iaitu Sistem e-SelfAudit bagi pengauditan syarikat kerajaan.

Anwar yang melihat pelaksanaan inisiatif itu langkah yang baik dan berharap jabatan kerajaan kerajaan beri kerjasama penuh kepada Jabatan Audit Negara.

“Agensi kerajaan kadangkala mempunyai kelemahan besar, dia ada lembaga, syarikat di bawahnya dan syarikat-syarikat di bawahnya. Jadi banyak pelanggaran peraturan, ataupun kalau ikut peraturan, pelanggaran dari sudut nilai dan tatakelola.

“Jadi bukan sahaja procedurally correct tetapi apa yang berlaku ialah kecenderungan ketua lembaga tubuh 40 syarikat, dia boleh jadi pengerusi 40 syarikat dan dia mendapat elaun 40 syarikat.

“Ini telah berlaku sebelum ini dan menyebabkan kita harus pantau semula kerana kelemahan pemantauan laporan pencapaian selama ini, menyebabkan masalah itu diulang,” kata Anwar.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Sistem e-SelfAudit merupakan salah satu daripada lapan komponen di bawah Projek Pendigitalan Perkhidmatan Jabatan Audit Negara (PPJ) yang telah dilaksanakan sejak akhir 2024 dan dibangunkan secara dalaman oleh Jabatan Audit Negara.

Inisiatif inovatif ini membolehkan proses pengauditan dilaksanakan dengan lebih cekap dan sistematik ke atas 1,856 Syarikat Kerajaan yang diwartakan merangkumi GLC, GLIC dan CLBG.

Sebagai permulaan, JAN telah pun melaksanakan penilaian kendiri melalui sistem e-SelfAudit secara projek rintis terhadap 206 Syarikat Kerajaan seluruh negara sejak 18 November 2024.

Pada majlis yang sama, Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi juga telah mengeluarkan empat garis panduan pengauditan yang baharu.

Garis Panduan Pengauditan Pengurusan Syarikat Kerajaan; Garis Panduan Susulan Audit; Garis Panduan Follow The Public Money Audit (FPMA); dan Garis Panduan Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here