Anantthanras dan isterinya, Iswari didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak lelaki mereka sehingga memerlukan rawatan di hospital pada Januari lalu.

Pemandu van kilang, P. Anantthanras, 35 dan operator kilang, M. Iswari, 33 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca secara bersama di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Mengikut pertuduhan kedua-dua mereka didakwa telah melakukan pengabaian terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang mana mereka mempunyai pemeliharaan ke atasnya.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 29 hingga 30 Januari lalu di sebuah kediaman di Taman Sentosa, Nibong Tebal dalam daerah Seberang Perai Selatan di sini.

Bagi kesalahan itu, pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh susulan kesalahan itu tidak boleh diikat jamin selain mangsa merupakan anak kandung kepada pasangan tersebut.

Pasangan tersebut tidak dibenarkan ikat jamin.

“Saya juga minta budi bicara mahkamah untuk mengambil kira faktor mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap selain merupakan saksi penting dalam kes ini.

“Selain itu, tertuduh lelaki juga pernah dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan pada 2019 dan 2020,” katanya.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin serta menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.

Difahamkan, terdapat kesan kecederaan baru dan lama terhadap mangsa akibat dipukul serta kesan bakar pada badannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast