Bangunan Kementerian Kesihatan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak menunjukkan trend peningkatan kes influenza, dan tidak merekodkan sebarang kes selesema burung (avian influenza) dalam kalangan manusia.

Kementerian Kesihatan Malaysia berkata, berdasarkan pemantauan, kadar konsultasi penyakit seperti influenza (ILI) di Klinik Kesihatan pada Minggu Epidermiologi 4/2025 adalah 4.67%, menurun sebanyak 0.14% berbanding 5.81% pada ME 3/2025.

Pada tempoh yang sama juga, kadar kemasukan kes jangkitan pernafasan akut yang teruk (SARI) di hospital adalah 7.26%, susut 0.16% berbanding 7.52% pada ME 03/2025.

Berdasarkan laporan mingguan WHO WPRO pada 31 Januari 2025 juga, tiada kes selesema burung baharu dalam kalangan manusia termasuk di Jepun, manakala kes terakhir yang direkodkan di rantau ini ialah pada 1 Januari 2025.

“KKM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa menjalankan pemantauan aktif dan survelan terhadap ladang ternakan, populasi burung liar, serta pasar basah bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan.

“Ini bagi memastikan Malaysia kekal bebas daripada selesema burung dengan kawalan biosekuriti dan langkah pencegahan yang ketat,” katanya.

Dalam pada itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan; mengamalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin; memakai pelitup muka terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan atau yang bergejala; serta mendapatkan vaksinasi influenza secara tahunan.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan ataupun swasta sekiranya mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema yang berpanjangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here