KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman lima individu termasuk tiga orang penjawat awam disyaki memberi dan menerima rasuah bagi mendapatkan kawasan pembalakan di dua buah negeri sekitar pantai timur dan selatan tanah air.
Perintah reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 11 Februari 2025 terhadap lima suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita telah dikeluarkan Majistret Mohamad Ridhwan Syarizal selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi semalam.
Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 50-an itu telah ditahan kira-kira antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang Selasa di beberapa buah lokasi melibatkan negeri di pantai timur dan di selatan tanah air melalui satu operasi khas yang dijalankan oleh SPRM.
“Siasatan awal mendapati perbuatan tersebut dilakukan pada tahun 2016 sehingga kini dan kesemua suspek disyaki menerima rasuah kira-kira RM1 juta bagi kerja-kerja pembalakan.
“Selain itu, SPRM turut menyita dua buah kenderaan mewah dan wang tunai puluhan ribu ringgit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Katanya juga, dua individu yang turut ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan SPRM. – MalaysiaGazette