KUALA LUMPUR – Pembangkang mempersoalkan mengenai tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memfailkan Notis Usul mendapatkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung titah adendum berhubung semakan kehakiman kes melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana permohonan berkaitan titah adendum yang dibawa oleh bekas perdana menteri itu adalah persoalan fakta di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang mana ia tidak melibatkan bukan persoalan undang-undang.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan, Mahkamah Persekutuan sepatutnya hanya mendengar isu berkaitan undang-undang dan tindakan AGC memfailkan rayuan tersebut tidak wajar.
“Yang dibawa oleh Datuk Najib di dalam Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan itu dalam undang-undang dipanggil persoalan fakta, tidak ada banyak persoalan undang-undang.
“Apa persoalan faktanya? Pertama, ada ke tak ada adendum? Itu undang-undang ke? Ada atau tidak, itu fakta.”
“Yang kedua, kalau ada adendum ini kuat kuasakanlah, undang-undang ke? Itu fakta,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.
Semalam, AGC memfailkan Notis Usul mendapatkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung titah adendum.
Tegas jabatan itu, keputusan memfailkan usul itu adalah berasaskan beberapa premis penting seperti pencanggahan dalam tafsiran undang-undang antara keputusan Mahkamah Tinggi dan penghakiman majoriti dan minoriti di Mahkamah Rayuan.
Jelasnya, perkara itu menimbulkan keperluan untuk mendapatkan kepastian dan undang-undang yang jelas daripada Mahkamah Persekutuan.
Selain itu, AGC berpendapat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan itu perlu demi kepentingan isu undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, isu yang dibangkitkan melibatkan persoalan undang-undang signifikan serta mempunyai kepentingan awam yang wajar dibicarakan dan diputuskan oleh mahlamah tertinggi negara.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan Najib mencabar titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.
Dengan keputusan majoriti 2-1, panel bersidang membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi dalam usaha mengesahkan kewujudan titah berkenaan.
Namun, sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan semakan kehakiman Najib.
Titah adendum yang ditandatangani oleh Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dikatakan memberi kebenaran agar Najib menghabiskan baki hukuman penjara di rumah, berbanding di Penjara Kajang.
Istana Pahang sebelum ini mengesahkan kewujudan adendum tersebut dalam surat yang dikemukakan di mahkamah.
Namun, peguam kerajaan berhujah titah adendum itu tidak dibincangkan semasa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersidang yang ketika itu dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. – MalaysiaGazette