KUALA LUMPUR- Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengarahkan pemberhentian kerja bagi penggunaan helikopter kedua yang terlibat dalam kerja penyelenggaraan di tapak projek TNB di Bentong.
Dalam hantaran di Facebook TNB Careline, syarikat utiliti itu mengesahkan telah menerima laporan insiden sebuah helikopter terhempas ketika mendarat untuk mengisi minyak berdekatan tapak projek TNB di kawasan Bentong, Pahang.
“TNB akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan insiden itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
“Laporan awal menyatakan bahawa juruterbang berjaya dikeluarkan dengan selamat manakala seorang pekerja syarikat helikopter (warga Indonesia) meninggal dunia,” menurut hantaran itu.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/02/06/helikopter-terbakar-di-bentong-jurutera-maut/
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan satu kemalangan melibatkan sebuah helikopter Bell 206L4, nombor pendaftaran PK-ZUV, di tapak pendaratan helikopter berhampiran Bentong, Pahang, hari ini pada jam 10.26 pagi.
Helikopter tersebut, yang disewa dan dikendalikan oleh MHS Aviation Berhad, sedang menjalankan kerja-kerja di udara telah mengorbankan seorang jurutera warga Indonesia, Pinsan Rizky akibat terkena bilah kipas helikopter.
Pesawat yang terhempas dan terbakar itu rentung 100 peratus, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). -MalaysiaGazette