KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) telah menganjurkan Program Nutrition in Community Engagement (NiCE), baru-baru ini.
Menurt Dekan FSMP, Prof. Dr. Hasmadi Mamat, program itu dapat dijadikan platform untuk menyebarluaskan ilmu pemakanan dan kesihatan kepada komuniti.
“Program ini bukan sekadar penyebaran ilmu, tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran insaniah dan praktikal mereka.
“Selain itu, penyelidikan melalui Makmal Hidup NiCE membantu mengenal pasti dan menangani isu pemakanan, khususnya masalah mpemakanan dalam kalangan kanak-kanak,” katanya dalam majlis perasmian penutupan program NiCE 2024.
Sementara itu, Ketua Program Pemakanan UMS, Dr. Noor Atiqah Aizan Abdul Kadir berkata NiCE bukan sekadar program akademik tetapi memberi impak besar kepada masyarakat.
“Sejak diperkenalkan, program ini telah melibatkan seramai 173 mahasiswa dan berjaya melahirkan 72 graduan yang kini bergiat aktif dalam pelbagai sektor berkaitan pemakanan dan kesihatan.
“Dengan jumlah klien yang telah mencecah 285 orang, NiCE terbukti sebagai salah satu usaha berkesan dalam menangani penyakit-penyakit kronik berkaitan pemakanan,” ujarnya.
Dalam majlis tersebut, seramai 27 pelajar tahun akhir Program Pemakanan menerima sijil tamat khidmat komuniti setelah melengkapkan 280 jam perkhidmatan sepanjang empat tahun pengajian mereka.
Selain itu, sembilan buah keluarga daripada komuniti NiCE kohot 2021 turut menerima sijil penghargaan atas kejayaan mereka melengkapkan program ini, membuktikan kejayaan usaha kerjasama ini dalam memberikan manfaat kepada masyarakat.
Kerjasama strategik antara UMS dan JHEAINS ini diharapkan dapat terus berkembang dan memberi kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan ummah melalui pendekatan pemakanan yang lebih sihat dan berkesan. – MalaysiaGazette