KUALA LUMPUR – Kegagalan peniaga menyelenggara dan kemas kini buku stok perniagaan merupakan kesalahan utama dikesan dalam Program Advokasi Kita Gempur anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan agensi penguatkuasaan serta pihak industri yang lain.
Menurut Timbalan Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar, kegagalan mengemas kini rekod stok perniagaan boleh menjadi petunjuk kepada aktiviti ketirisan atau penyeludupan barangan kawalan.
“Jika kami dapati ada sebarang bentuk penyelewengan, peniaga boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan dalam bentuk kompaun atau pendakwaan di mahkamah sekiranya didapati bersalah.
“Denda yang dikenakan bergantung kepada nilai transaksi barang kawalan yang terlibat dan ia boleh mencecah sehingga RM5 juta.
“Selain itu, siasatan juga boleh dikenakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) sekiranya wujud sebarang elemen sindiket,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas berucap dalam Program Advokasi Kita Gempur Tahun 2025 bersama rakan strategik peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Tambahnya, sebanyak 10,034 aduan telah diterima daripada orang awam di Kuala Lumpur pada tahun lalu.
“Oleh itu, kami telah melakukan pemeriksaan terhadap 1,701 premis perniadaan serta menghasilkan 11 kes pendakwaan dan 19 tangkapan individu.
“Bagaimanapun, aduan berkaitan barang kawalan hanya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan laporan diterima,” ujarnya.
Menerusi program advokasi ini, pihaknya berharap orang awam dapat berkongsi lebih banyak lagi maklumat mengenai sebarang bentuk ketirisan dan penyeludupan barang kawalan bagi mempercepatkan tindakan penguatkuasaan.
Program advokasi Kita Gempur ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober tahun lalu.
Pelancaran ini adalah untuk membanteras ketirisan barang kawalan, kenaikan harga tidak munasabah, serta penipuan dalam perniagaan melalui operasi bersepadu seperti Ops Tiris 3.0 dan Ops Kesan. – MalaysiaGazette