KUALA LUMPUR – Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) merafak sembah takzim mendoakan kesembuhan segera Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan.
“Semoga Allah SWT melancarkan segala urusan rawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku di luar negara dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berangkat kembali ke tanah air bagi meneruskan pemerintahannya,” kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi kenyataan.
Hari ini, Sultan Ibrahim berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook Rasmi Baginda, perkara itu juga telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan Kerajaan Persekutuan.
Menurut kenyataan itu lagi, turut mengiringi bersama Seri Paduka Baginda, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
Dalam pada itu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, tugas sebagai Pemangku Agong akan ditentukan mengikut Perlembagaan.
Menurutnya, kerajaan mematuhi tempoh dan mekanisme yang terkandung dalam Perlembagaan.- MalaysiaGazette