KUALA LUMPUR – AmBank telah melancarkan Akaun Simpanan AmVault/-i yang menawarkan pelanggan untuk mendepositkan dana mereka dengan mudah melalui pemindahan dalam talian.
Dengan deposit permulaan minimum RM20, dan tanpa yuran tahunan, pelanggan boleh memohon akaun ini di mana-mana AmBank atau Cawangan Islam AmBank di seluruh negara.
Bagaimanapun, pengeluaran memerlukan pengesahan secara peribadi di mana-mana AmBank atau cawangan AmBank Islamic.
Pengarah Urusan, Perbankan Runcit AmBank, Cheong Chee Wai berkata, akaun AmVault/-i bertujuan untuk memastikan ketenangan fikiran kerana pelanggan boleh mengekalkan kawalan penuh ke atas dana mereka, menghapuskan kebimbangan kehilangan atau kecurian kad mahupun ancaman digital.
Akaun ini juga meminimumkan risiko sekiranya penipu mendapat akses tanpa kebenaran ke akaun dalam talian pelanggan, manakala dana yang disimpan dalam akaun akan terus mengakru keuntungan untuk simpanan jangka panjang.
“Kami di AmBank berdedikasi untuk melindungi kesejahteraan kewangan pelanggan kami dalam landskap digital yang berkembang di mana penipuan dalam talian semakin berleluasa,” katanya.
Tambah beliau, AmBank kekal tegas menyokong usaha Bank Negara Malaysia memperkukuh perlindungan terhadap penipuan dalam talian dengan melaksanakan langkah teguh mengetatkan keselamatan dan memastikan pengalaman perbankan yang selamat untuk pelanggannya.
Mulai Januari 2025, bagi pelanggan yang bertukar kepada peranti baharu, mereka dikehendaki menyahpaut aplikasi AmOnline mereka daripada peranti lama sebelum mereka memaut aplikasi itu kepada peranti baharu mereka.
Ini akan menambah lapisan keselamatan dan memastikan pelanggan mempunyai penglibatan secara langsung dalam mengurus peranti yang ditandakan pada aplikasi mudah alih mereka.
Secara berasingan, berkuat kuasa 15 Februari 2025, AmSecure akan menggantikan SMS OTP (Kata Laluan Satu Kali) sebagai kaedah kebenaran untuk transaksi dalam talian Kad Kredit/-i dan Kad Debit AmBank.
Pengaktifan AmSecure juga memerlukan proses pengesahan mudah untuk memasukkan Kod Pengaktifan yang dipaparkan pada aplikasi AmOnline pelanggan di mana-mana mesin ATM atau CRM AmBank.
Tempoh bertenang selama 12 jam dikuatkuasakan selepas pengaktifan AmSecure melalui ATM atau CRM, bertindak sebagai langkah keselamatan tambahan mulai Mac 2025 dan seterusnya.
Antara peningkatan keselamatan lain termasuk imbasan perisian hasad (malware) dalam peranti pelanggan, kod pendek SMS yang ditetapkan untuk semua komunikasi SMS pelanggan dan memperkenalkan peraturan kerumitan kata laluan yang diperkukuh. – MalaysiaGazette