KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengambil alih dan mengusir penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza tidak dapat diterima sama sekali.
Ia harus dikutuk sekeras-kerasnya oleh Malaysia serta dunia.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, cadangan itu merupakan satu tindakan yang tidak masuk akal kerana jelas adalah langkah untuk melaksanakan pembersihan etnik tanpa menggunakan senjata atau peperangan.
Menurut beliau, sikap dan tindakan Trump itu sama seperti krisis pengusiran penduduk Palestin dari Baitulmaqdis Timur oleh Israel sejak 1950-an dan juga semasa peperangan pada tahun 1967 di mana baki tanah Palestin dirampas termasuk Tebing Barat, Timur Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza.
“Kegilaan Trump dan sekutunya, Benjamin Netanyahu harus dihentikan dengan segera. Tindakan mereka ini sudah melanggar undang-undang antarabangsa.
“Ini adalah soal kemanusiaan, sampai bila kita mahu melihat rakyat Palestin diusir dan dibunuh di tanah mereka sendiri?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ismail Sabri, adalah amat memalukan sekiranya AS sebagai sebuah negara yang mahukan keamanan di Asia Barat dan sering menyokong hak asasi manusia tetapi kini sedang giat mahu mengusir penduduk Gaza.
Sebaliknya, ujar beliau, pentadbiran AS seharusnya menyalurkan dana dan sumbangan bagi membantu membangunkan infrastruktur asas seperti hospital dan sekolah di Palestin akibat peperangan yang berpanjangan.
“Dunia khususnya negara Islam perlu bangun dan bangkit menentang kegilaan ini. Penyelesaian kekal untuk isu ini hanya satu, berikan hak rakyat Palestin. Usah biar Palestin lenyap daripada peta dunia,” katanya.
Trump sebelum ini membuat kenyataan yang menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati masyarakat dunia apabila mengumumkan AS akan ‘mengambil alih’ Semenanjung Gaza dan membangunkannya semula, tidak lama selepas mencadangkan penempatan semula penduduk Palestin secara kekal di luar wilayah itu.
Susulan kenyataan Trump itu, enam menteri negara Arab yang mengadakan mesyuarat di Kaherah, Mesir, Sabtu lalu menolak sebarang rancangan untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza dan Tebing Barat yang diduduki. – MalaysiaGazette