Faiq dan isteri kini tinggal dalam PPR Kempas, Johor Bahru sejak semalam selepas dua bulan tinggal dalam kereta terpakai sejak dua bulan lalu.

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri gelandangan  menjadikan kereta terpakai milik mereka sebagai ‘rumah’ dengan parkir di Masjid Kota Iskandar dan Surau Nusa Perintis di sini setiap hari disebabkan tidak mampu membayar deposit rumah sewa yang tinggi.

Faiq Lubis Mat Jaya, 39, berkata, Proton Wira Aeroback terpakai milik mereka menjadi tempat berteduh dia dan isteri, Rohana Abu Bakar, 43, sejak dua bulan lalu.

Beliau yang masih belum memiliki cahaya mata itu mengambil keputusan hidup seperti itu kerana tidak mampu membayar deposit rumah sewa yang tinggi di sekitar kawasan bandar raya ini.

Faiq Lubis berkata, pendapatan sebagai penjual air dan buah kelapa di tepi jalan mula merosot sejak dua bulan lalu menyebabkan dia  dan isteri mengambil keputusan untuk keluar dari rumah sewa.

Walaupun begitu, dia yang mendirikan rumah tangga sejak 2019 tidak pernah berputus asa mencari rezeki dan mengambil keputusan bekerja sebagai penghantar makanan.

“Di sini, rumah sewa mahal amat tinggi lebih daripada pendapatan kami. Sewa rumah bulanan RM1,500 tetapi deposit rumah sahaja perlu tiga bulan bermakna hampir RM5,000 termasuk bil air dan elektrik.

“Mana kami mampu? Paling rendah upah saya dapat sebanyak RM12 sehari,” katanya ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai hari ini.

Menurut Faiq, Proton Wira Aeroback itu kemudiannya menjadi tempat tinggal mereka dengan menjadikan masjid dan surau berkenaan sebagai persinggahan.

“Saya dan isteri makan ala kadar untuk berjimat. Tandas di surau dan masjid menjadi tempat kami mandi dan bersihkan diri. Ada juga yang bantu hulurkan wang kepada saya dan isteri.

“Walaupun kami berpindah randah tinggal dalam kereta tetapi belum ada lagi kejadian kecurian,” katanya.

Ditanya penggalamannya dan isteri tinggal dalam Proton Wira Aeroback itu, Faiq reda dan insaf dengan ketentuan tuhan.

“Kami fikirkan dalam kubur lagi sempit sebab itu kami sentiasa terima  dan insaf dengan ujian yang diberikan,” katanya.

Faiq tidak menyangka persinggahannya pada petang semalam di Masjid Kota Iskandar mengubah kehidupan dia dan isteri mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan sedia memberi bantuan rumah.

Sebelum itu, Mohd Jafni berkongsi kisah duka pasangan berkenaan dalam Facebook miliknya dengan menyantuni suami isteri itu.

“Semalam ketika solat Zohor di Masjid Kota Iskandar, saya dimaklumkan ada sepasang suami isteri yang telah bulan-bulan tinggal dalam kereta berpindah-randah kerana terpaksa mengosongkan rumah sewa atas faktor kesempitan hidup dan  masalah kewangan.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail dan Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid untuk membantu pasangan suami isteri ini,” tulisnya.

Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai memberitahu, pihaknya juga telah meminta pegawai Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor untuk segera menempatkan pasangan ini di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai dibawah unit kecemasan PKPJ. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here