KUALA LUMPUR – Garis panduan untuk muslim ke majlis atau upacara bukan Islam boleh dijadikan sebagai sumber rujukan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, tidak semua orang Islam tahu perkara yang boleh dan tidak untuk dilakukan sekiranya berada di majlis agama lain.
“Garis panduan ini adalah untuk sumber rujukan. Tidak semua orang tahu dan ada ilmu seperti yang kita tahu dan faham.
“Sama juga garis panduan peraturan jalan raya, ramai yang ada lesen sendiri pun masih tidak tahu undang-undang yang sedia ada, malah ada lagi yang memandu secara mabuk,” katanya menerusi Facebook.
Dr Akmal berkata, garis panduan tersebut jelas hanya untuk orang Islam yang tidak sepatutnya dicampur oleh penganut agama lain.
“Apa lagi garis panduan untuk orang islam yang mana terpakai untuk orang Islam sahaja, yang bukan islam tak perlu terlibat pun dan tidak perlu campur!! Semudah itu,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan tiada keperluan untuk menetapkan garis panduan untuk umat Islam ke majlis atau upacara bukan Islam di negara ini.
Anwar berkata, selama ini umat Islam sudah sedia maklum dalam menjaga akidah selain mematuhi peraturan ketika hadir ke majlis atau upacara bukan Islam di rumah ibadat bukan Islam.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Garis panduan ini tak perlu kerana orang Islam tahu garis dia – PM