JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan penyelesaian projek jejambat Meridin East Pasir Gudang yang terbengkalai sejak 2021 bagi mengurangkan kesesakkan trafik di daerah itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara terbabit sudah dibincangkan dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kunjungan hormatnya bersama-sama delegasi kerajaan negeri kelmarin.
“Penyelesaian projek jejambat Meridin East Pasir Gudang yang terbengkalai sejak 2021 itu antara yang dibincangkan, selain beberapa projek insfrastruktur lain.
“Kerajaan Johor mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian yang bakal membuka akses dua hala ke Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) serta mengurangkan kesesakan trafik di Pasir Gudang.
“Kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan komited memastikan semua projek infrastruktur di Johor disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan, termasuk memastikan penyuraian trafik dapat dilaksanakan sepanjang tempoh pelaksanaan projek berjalan lancar.
“Besar harapan kami supaya segala permohonan dapat dipertimbangkan demi memastikan Johor terus maju sebagai negeri yang berdaya saing dan makmur,” katanya dalam kenyataan.
Onn Hafiz tuurut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas keprihatinan meluluskan peruntukan untuk pembangunan infrastruktur kepada negeri ini.
“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya telah meluluskan peruntukkan RM263 juta bagi Johor pada tahun ini.
“Pertemuan saya bersama Menteri Kerja Raya serta delegasi kerajaan negeri itu adalah bagi membincangkan hala tuju pembangunan infrastruktur Johor.
“Menerusi perbincangan berkenaan, beberapa isu dan perkara yang menjadi keutamaan Johor turut telah dibangkitkan termasuk projek hotspot banjir di Johor, projek pembangunan, serta penyelenggaraan jalan Persekutuan dan jalan susur,” katanya.- MalaysiaGazette