PUTRAJAYA – Dakwaan 435 rakyat Malaysia yang dikatakan antara 1.44 juta individu menerima arahan akhir daripada Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) Amerika Syarikat (AS) untuk diusir keluar tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet.
Menteri Komunikasi yang Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata, isu tersebut boleh dirujuk dengan Wisma Putra.
Semalam, media melaporkan eramai 435 rakyat Malaysia di AS menerima notis akhir penghantaran pulang ekoran peraturan ketat imigrasi di bawah pentadbiran baharu Donald Trump.
Berdasarkan data terkini yang dikeluarkan oleh US Immigration and Customs Enforcement (ICE), mereka berada dalam kategori pertengahan antara negara-negera terjejas oleh kempen penguatkuasaan imigrasi dan kini berada dalam senarai non-detain docket ICE.
“Kerjasama daripada kerajaan asal adalah kunci dalam proses penghantaran pulang. Ketiadaan kerjasama dari kerajaan asal boleh melambatkan atau menghalang proses penghantaran pulang,” menurut ICE dalam satu laporan.
Bagaimanapun, masih terdapat beberapa cara untuk mereka yang bukan warganegara AS kekal berada di negara itu meskipun sudah menerima notis penghantaran pulang.
AS memerlukan kerjasama negara asal untuk mengesahkan kewarganegaraan melalui temu duga.
Selain itu, AS turut memerlukan kerjasama kerajaan negara asal untuk mengesahkan kewarganegaraan individu terlibat dan mengeluarkan dokumen perjalanan.
“AS meminta kerajaan negara asal untuk mengesahkan kewarganegaraan melalui temu duga, mengeluarkan dokumen perjalanan dengan negara dan menerima kepulangan mereka melalui penerbangan komersial atau sewaan.
“Jika kerajaan tidak bekerjasama, negara tersebut mungkin diklasifikasikan sebagai ‘tidak bekerjasama’ atau mungkin berisko untuk tidak memenuhi permintaan AS,” katanya.
Ditanya sekiranya Kabinet ada membincangkan berhubung pembubaran Unit Jabatan Keadilan (DoJ) AS yang memainkan peranan penting dalam siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Fahmi berkata, perkara itu juga tidak dibincangkan secara khusus dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Terdahulu media antarabangsa melaporkan Unit DoJ AS yang memainkan peranan penting dalam siasatan skandal 1MDB telah diarah dibubarkan.
Menurut seorang wartawan penyiasatan, Bradley Hope, penutupan Kleptocracy Asset Recovery Initiative (KARI) dan Task Force Klepto Capture itu diumumkan oleh Peguam Negara AS, Pam Bondi dalam e-mel yang dihantar kelmarin. – MalaysiaGazette