kenderaan kerajaan Malaysia CPI budaya politik imigresen sempadan rakyat rasuah
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Kehadiran pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai Ketua Unit Integriti (KUI) di semua kementerian akan memberi mesej jelas bahawa kerajaan serius dalam memastikan penjawat awam bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, langkah itu juga boleh mengurangkan kecenderungan untuk melakukan salah laku kerana pemantauan lebih ketat dan laporan boleh dibuat secara terus kepada SPRM.

Sambil menyambut baik cadangan itu, tambah beliau, kehadiran pegawai SPRM di setiap kementerian juga dapat meningkatkan keberkesanan pencegahan rasuah dari dalam sistem itu sendiri, bukan hanya melalui siasatan selepas sesuatu kes berlaku.

Namun, ujar beliau, kejayaan mekanisme itu bergantung kepada sejauh mana pegawai SPRM diberikan kuasa dan sokongan untuk bertindak tanpa gangguan serta bagaimana laporan mereka ditangani oleh pihak atasan.

“Jika pegawai KUI hanya berperanan sebagai penasihat tanpa kuasa yang jelas, maka kesannya mungkin tidak begitu signifikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan menempatkan pegawainya sebagai KUI di semua kementerian dalam tempoh terdekat dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

Menurut Azam, cadangan itu sudah dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar baru-baru ini.

Sementara itu, Jais berkata, meskipun cadangan tersebut disifatkan baik, namun ia tidak boleh dianggap sebagai satu-satunya jalan penyelesaian ke arah membanteras rasuah dalam sektor kerajaan.

Tegas beliau, amalan rasuah bukan sekadar masalah individu tetapi juga berkait rapat dengan kelemahan sistem, budaya kerja dan tahap ketelusan dalam tadbir urus.

“Oleh itu, selain menempatkan pegawai SPRM, kementerian perlu mengukuhkan sistem pemantauan dalaman, mengamalkan dasar ketelusan dalam perolehan dan perkhidmatan serta memastikan tindakan tegas diambil terhadap pelaku rasuah tanpa pilih kasih,” katanya.

Berhubung cabaran yang bakal dihadapi menerusi penempatan KUI itu, Jais menambah, antara yang boleh dijangkakan adalah pegawai SPRM mungkin menghadapi tentangan atau sikap tidak bekerjasama daripada pegawai kanan di kementerian terutama jika terdapat amalan yang sudah berakar umbi.

Selain itu, ujar beliau, pegawai SPRM juga mungkin berdepan tekanan daripada pihak tertentu yang tidak mahu amalan salah laku mereka didedahkan.

Sehubungan itu, tambahnya, jika penemuan dan laporan pegawai SPRM tidak diambil tindakan dengan tegas, ia boleh melemahkan kepercayaan terhadap mekanisme tersebut.

Dalam masa sama, katanya, SPRM juga perlu memastikan pegawai yang ditempatkan sebagai KUI benar-benar berkelayakan, berintegriti tinggi dan mampu menjalankan tugas dengan berkesan.

“Secara keseluruhannya, MCW melihat langkah ini sebagai satu perkembangan positif, namun ia mesti disertai dengan usaha berterusan untuk memperkukuh sistem integriti dalam perkhidmatan awam termasuk melalui pengukuhan budaya whistleblowing, reformasi pentadbiran dan penguatkuasaan yang lebih ketat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here