KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memperluaskan pelaksanaan larangan pergerakan kenderaan berat memasuki lebuh raya pada waktu puncak di beberapa jajaran lebuh raya terpilih di sekitar Lembah Klang, bermula 19 Februari ini.
Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).
LLM dalam kenyataannya berkata, pelaksanaan larangan ini telah diwartakan oleh kerajaan pada 21 Oktober 2024 dan merupakan salah satu inisiatif di bawah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) bertujuan untuk melancarkan pergerakan trafik di kawasan Lembah Klang dan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur,.
Jelasnya, kenderaan berat yang terlibat dalam pelaksanaan larangan tersebut adalah kenderaan motor kelas dua iaitu kenderaan yang mempunyai dua gandar dan enam roda, kecuali bas.
Manakala, satu lagi kenderaan yang dilarang iaitu motor kelas tiga yang merupakan kenderaan memiliki tiga gandar atau lebih, kecuali bas.
Walau bagaimanapun katanya, larangan itu dikecualikan bagi kenderaan berat yang terlibat dengan kerja-kerja pembersihan, pembuangan dan penghantaran sisa domestik, perkhidmatan kecemasan dan penguatkuasaan serta kenderaan berat yang terlibat dengan kerja penyelenggaraan lebuhraya. – MalaysiaGazette