KUALA LUMPUR – Seorang warga emas kerugian lebih RM2.2 juta selepas menjadi mangsa pelaburan mata wang kripto tidak wujud.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor menerima laporan di Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya daripada lelaki berusia 70 tahun yang juga merupakan seorang pesara.
Katanya, siasatan mendapati mangsa berkenalan dengan seorang lelaki menerusi media sosial pada Oktober tahun lalu yang kemudian menawarkannya pelaburan mata wang kripto.
“Kemudian mangsa dimasukkan ke WhatsApp Group UVKXE yang mana dijanjikan keuntukan yang besar sekiranya menyertai pelaburan tersebut.
“Mangsa yang berminat dan percaya dengan tawaran berkenaan telah membuat bayaran sebanyak 18 kali transaksi ke dalam pelbagai akaun bank berlainan dengan jumlah RM2,210,136,” katanya menerusi kenyataan.
Hussein berkata, malangnya mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.
Sehubungan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Hussein mengingatkan orang ramai supata tidak sewenangnya mempercayai tawaran pulangan yang lumayan daripada mana-mana pelaburan menerusi media sosial. – MalaysiaGazette