BUTTERWORTH – Seorang lelaki yang mempunyai 10 rekod lampau direman selama enam hari bagi membantu siasatan meragut seorang wanita warga emas di Jalan Raja Uda di sini, semalam.
Perintah reman bermula hari ini sehingga 12 Februari depan itu dikeluarkan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan terhadap suspek berusia 33 tahun itu mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Terdahulu suspek tiba jam 10.45 pagi di mahkamah dengan berpakaian lokap warna oren serta diiringi polis.
MalaysiaGazette difahamkan, mangsa berusia 77 tahun diragut ketika sedang berjalan kaki menuju ke keretanya di Jalan Raja Uda di sini, kira-kira jam 9 pagi semalam.
Suspek yang menunggang motosikal Honda EX-5 dikatakan menghampiri mangsa dengan lalu meragut beg yang dipegang mangsa dari arah belakang.
Mangsa dikatakan mengalami kerugian ribuan ringgit susulan kunci kereta, telefon bimbit serta barang peribadi lain dalam beg yang diragut suspek.
Bertindak atas laporan dan risikan polis berjaya memberkas suspek kurang lapan jam selepas kejadian di kawasan perumahan sekitar Hujung Batu di sini.
Turut dirampas motosikal digunakan suspek yang dilaporkan hilang di daerah Seberang Perai Tengah. – MalaysiaGazette