Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Tugas sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong (YDPA)  akan ditentukan mengikut Perlembagaan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau yang Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan mematuhi tempoh dan mekanisme yang terkandung dalam Perlembagaan.

“Kita berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan dan ada tempoh dan mekanismanya. Jadi kita akan turut seperti yang ada dalam Perlembagaan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi memberitahu Jemaah Menteri hari ini mendoakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dikurniakan kesihatan dan selamat menerima rawatan.

“Mesyuarat Jemaah Menteri dimulakan dengan mendoakan Seri Paduka Yang Di-Pertuan Agong dikurniakan kesihatan dan keafiatan serta selama menerima rawatan. Sebarang perkara, rakan-rakan media rujuk dengan Istana Negara.

“Pagi tadi Seri Paduka Baginda telah berangkat dan kita mengikut perjalanan rawatan Tuanku,” katanya.

Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan.

Sultan Ibrahim diiringi oleh dua anakandanya, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Istana Negara berkata, perkara itu telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan Kerajaan Persekutuan.

“Seluruh rakyat diminta mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” menurut kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here