Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (tengah) bercakap ketika sidang media berkaitan kejayaan tangkapan dan rampasan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor di Mes Pegawai Kanan Polis IPK Selangor, Shah Alam. Foto HARI ANGGARA, 31 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Pesara berusia 77 tahun berputih mata apabila kerugian RM3.2 juta akibat ditipu pelaburan saham yang disertainya menerusi Facebook.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki tersebut mula menyertai EFA Trade pelaburan saham yang kononnya syarikat antarabangsa berpusat di Singapura sejak November tahun lalu.

Warga emas itu ditawarkan pulangan yang lumayan dan diyakinkan untuk membuat pelaburan dalam 27 kaunter saham.

Menurut Hussein, lelaki itu kemudian diminta membuat transaksi bayaran melibatkan tiga akaun bank berbeza.

“Pada penghujung bulan Januari 2025, pihak EFA Trade menyatakan pelaburan tersebut akan ditutup dan setiap pelabur dikehendaki membayar komisen sebanyak 15 peratus kepada pihak syarikat dari hasil keuntungan untuk membolehkan para pelabur mengeluarkan keuntungan dan hasil pelaburan mangsa telah mencecah RM22 juta yang ditunjukkan dalam aplikasi EFA PRO,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, mangsa kemudian sedar ditipu setelah mendapati dokumen pelaburan yang diberikan kepadanya adalah palsu.

“Modus Operandi yang digunakan oleh suspek adalah dengan memperdayakan mangsa melalui iklan pelaburan di aplikasi media social Facebook,” ujarnya.

Sehubungan itu polis telah membuka kertas siasatan di Bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Hussein turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran-tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, khususnya melalui aplikasi-aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Orang ramai yang mengesyaki sebarang panggilan yang mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here