KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyokong inisiatif kerajaan melaksanakan peluasan larangan pergerakan kenderaan berat (Kelas 2 dan Kelas 3) memasuki lebuh raya pada waktu puncak di beberapa laluan lebuh raya terpilih ke dan dari bandar raya Kuala Lumpur.
Menerusi kenyataan PLUS berkata, ia merupakan langkah progresif demi meningkatkan tahap keselamatan, membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan melancarkan pergerakan trafik di kawasan Lembah Klang dan ibu kota terutama pada waktu-waktu puncak.
“PLUS sentiasa komited untuk menyokong dan bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia serta agensi-agensi kerajaan lain bagi memastikan kelancaran trafik di lebuh raya.
“Usaha ini sejajar dengan matlamat PLUS untuk meningkatkan tahap keselamatan dan memberikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan selesa kepada semua pengguna lebuh raya,” katanya.
Dalam masa yang sama, PLUS telah memasang papan tanda di lokasi-lokasi strategik untuk memaklumkan waktu larangan bagi kemudahan pengguna lebuh raya khususnya pemandu kenderaan berat mendapat panduan yang jelas.
“Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan peluasan larangan pergerakan kenderaat berat ini, sila rujuk laman web PLUS di www.plus.com.my atau menerusi laman media sosial PLUS,” tambahnya.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini mengumumkan perluasan pelaksanaan larangan pergerakan kenderaan berat memasuki lebuh raya pada waktu puncak di beberapa jajaran lebuh raya terpilih di sekitar Lembah Klang, bermula 19 Februari ini.
Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).- MalaysiaGazette