KULAI – Pasukan Polis Marin Wilayah Dua berjaya melumpuhkan sindiket pengumpulan dan memproses minyak sawit mentah di sebuah premis di Air Bemban di sini semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya bersama-sama penguatkuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Selatan melakukan serbuan menerusi Op Taring Landai Khas Tahun Baharu Cina pada pukul 10 pagi.
“Serbuan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun yang dipercayai pengusaha premis.
“Dalam operasi tersebut juga kita telah merampas 171 IBC tank berisi minyak sawit anggaran isipadu 170,400 liter, 52 IBC tank, empat skid tank, sebuah treler, dua buah gallon tank, dua forklif dan tiga unit hose.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2.49 juta” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 5, Peraturan-peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005 bagi kesalahan beroperasi tanpa lesen dan Undang-undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) 201).
Menurut beliau, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada penguatkuasa MPOB untuk tindakan selanjutnya.
“Polis Johor terus komited dalam membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang dan boleh menjejaskan ekonomi,” tambahnya. – MalaysiaGazette