GEORGE TOWN – Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kematian beberapa ekor kucing yang bangkainya dibuang ke dalam tong sampah di Jelutong.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya mengesan satu video tular di media sosial mengenai kejadian itu pukul 5.20 petang semalam.
“Rakaman video berdurasi 30 saat itu menunjukkan beberapa bangkai kucing di dalam sebuah tong sampah berhampiran bangunan Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA).
“Selain itu, kita juga menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 49 tahun berhubung kejadian sama pukul 4.29 petang pada Rabu lalu.
“Kes ini telah diklasifikasikan sebagai ‘rujuk kepada agensi lain’, khususnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, pihaknya telah ke lokasi penemuan bangkai haiwan tersebut bagi menjalankan siasatan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan ketika ini,” katanya ringkas.
Terdahulu, tular beberapa video serta menunjukkan kira-kira 10 bangkai kucing di dalam satu plastik hitam didakwa dibuang pekerja rumah perlindungan haiwan SPCA Pulau Pinang. – MalaysiaGazette