Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membayangkan kemungkinan berlaku pilihan raya umum (PRU) mengejut atau snap election pada hujung tahun ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu antara ditegaskan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta semua jentera parti mesti digerakkan sekarang.

“Perbincangan juga memberi tumpuan kepada perkembangan yang amat meyakinkan susulan perbincangan khas dalam kalangan pimpinan tertinggi Bersatu dan Pas pada Rabu lalu, 5 Februari (lalu) yang turut dihadiri oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang dan YB Pengerusi Perikatan Nasional,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau malam ini.

Menurut Mohamed Azmin, Muhyiddin juga mengeluarkan arahan supaya audit kekuatan jentera Bersatu dimulakan di semua negeri khususnya kawasan-kawasan tumpuan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu Muhyiddin turut menyeru semua pimpinan dan ahli-ahli untuk menjaga disiplin dan berintegriti, menjalin kerjasama dengan parti-parti anggota dalam Perikatan Nasional (PN) dan senantiasa menyantuni dan prihatin terhadap rakyat.

“Semoga Allah SWT mempermudahkan perjalanan perjuangan BERSATU dan memberi kemenangan yang besar dalam PRN dan PRU-16. Melangkah maju bersama Bersatu,” katanya.

Sejak PRU-14 pada 2018 yang menyaksikan pertama kalinya Barisan Nasional (BN) tumbang, Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kerajaan paling lama bertahan iaitu menjangkau usia dua tahun pada November tahun lalu.

Tidak sampai satu penggal atau kurang lima tahun selepas PRU-14, pentadbiran Kerajaan Persekutuan telah bertukar sebanyak tiga kali.

Tiga kerajaan sebelum ini iaitu ketika di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya bertahan selama 22 bulan; Muhyiddin (17 bulan) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (13 bulan). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here