KUALA LUMPUR – Sepuluh premis penginapan didiami warga asing di sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang, Selangor diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Khamis lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan itu dilakukan berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama tiga hari.
Katanya, operasi itu bermula jam 12.05 tengah malam melibatkan 51 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Pengkuatkuasan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Berdasarkan maklumat diperolehi, seramai 110 individu terdiri daripada warga asing dan tempatan telah diperiksa di premis penginapan terbabit.
“Hasil pemeriksaan, 66 warga asing terdiri daripada 29 lelaki, 30 perempuan dan satu kanak-kanak warga Indonesia, (6) lelaki warga Bangladesh, dan satu lelaki warga Myanmar ditahan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tambah beliau, kesemua warga asing ditahan telah dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil bagi siasatan lanjut di bawah Sekyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). – MalaysiaGazette