Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU – Johor menjadi penyumbang terbesar pertanian negara setakat ini dengan sumbangan RM17.21 bilion atau 17.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sektor berkenaan, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus komited memperkasakan Johor sebagai ‘bakul makanan’ negara dan juga di peringkat antarabangsa yanag akan direalisasikan dengan meningkatkan pengeluaran produk agromakanan serta merancakkan aktiviti eksport hasil pertanian ke pasaran global.

“Kita dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memberi tumpuan khusus terhadap bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) khususnya bagi tanaman nanas, kelapa, durian, pisang serta betik, dalam usaha memastikan prestasi pengeluaran hasil terus meningkat,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Onn Hafiz berkata pertemuan dengan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup telah diadakan bagi membincangkan hala tuju pembangunan sektor pertanian serta keterjaminan makanan di Johor.

“Kita juga telah memperuntukkan RM18.48 juta tahun ini untuk pelbagai inisiatif pembangunan pertanian melibatkan kerjasama dengan agensi utama termasuk Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Johor Biotech, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan FarmByte.

“Kerajaan negeri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memperuntukkan lebih RM21 juta dalam Belanjawan 2025 melalui KPKM kepada Johor bagi mempergiat usaha dan program berkaitan keterjaminan makanan,” katanya.

Pada masa sama, beliau yakin usaha berterusan ini bukan sahaja akan menjadikan Johor sebagai hab pengeluaran agromakanan utama, malah mampu meningkatkan pendapatan petani dan pengusaha, serta memastikan keterjaminan makanan yang lebih baik untuk Bangsa Johor dan negara, dengan kerjasama dan sokongan KPKM. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here