KUALA LUMPUR – Penduduk di Bagan, Pulau Pinang bakal menikmati perkhidmatan kesihatan bertaraf tinggi apabila Klinik Kesihatan Butterworth dinaik taraf daripada Klinik Jenis 2 kepada Klinik Jenis 1 dengan peruntukan lebih RM120 juta.
Ahli Dewan Negara, Senator RA Lingeshwaran berkata, ia hasil usaha gigih Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang mengemukakan keperluan dan bukti kukuh kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sehingga kerajaan bersetuju untuk menaik taraf kemudahan tersebut.
”Pada awalnya klinik kesihatan ini hanya dirancang sebagai Klinik Kesihatan Jenis 2. Sememangnya satu berita baik kerana rakyat yang akan mendapat manfaat besar.
“Peningkatan status klinik ini akan memastikan penduduk setempat mendapat akses kepada rawatan yang lebih moden dan selesa. Klinik Jenis 1 akan menawarkan perkhidmatan lebih menyeluruh termasuk rawatan pakar dan peralatan canggih,” katanya dalam laman sosial Facebook beliau hari ini.
Beliau menambah, ia merupakan Klinik Kesihatan Jenis 1 kedua di Malaysia selepas Kuala Lumpur dan yang pertama di Pulau Pinang sekali gus menjadi pencapaian penting bagi komuniti Bagan.
“Ini adalah kemenangan besar buat rakyat khasnya penduduk kawasan ini. Usaha berterusan Guan Eng dalam memperjuangkan kebajikan kesihatan penduduk wajar dihargai, begitu juga keprihatinan Dr Dzulkefly dalam memastikan keperluan masyarakat setempat dipenuhi,” tambahnya.
Untuk makluman, naik taraf ini dijangka memberi impak positif kepada sistem penjagaan kesihatan di Butterworth dan kawasan sekitarnya sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat. – MalaysiaGazette