KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyokong penuh usaha Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menolak sebarang usaha pemindahan paksa rakyat Palestin dari tanah air mereka.
Menurut Timbalan Yang Dipertua YADIM, Prof. Dr. Adi Anuar Azmin, tindakan sedemikian merupakan satu pembersihan etnik yang melanggar hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.
“Rakyat Palestin mempunyai hak mutlak untuk menentukan masa depan mereka yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak.
“Sebarang cubaan untuk menyelesaikan krisis ini secara paksa bukan sahaja tidak berperikemanusaiaan tetapi juga terus mengancam kestabilan rantau itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Adi Anuar turut menyokong perjuangan Malaysia dan masyarakat antarabangsa lain dalam memperjuangkan penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.
“Hal ini kerana kestabilan yang berkekalan hanya dapat dicapai dengan pengiktiradan penuh terhadap kedaulatan negara itu.
“YADIM akan terus komited dalam menyedarkan umat Islam tentang isu ini serta memainkan peranan dalam memperjuangkan keamanan berkekalan untuk menamatkan penindasan ke atas saudara kita di sana,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua negara yang masih belum mengiktiraf Palestin agar segera berbuat demikian dan menyokong keahliannya sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – MalaysiaGazette