KUALA LUMPUR – Sindiket perniagaan pengiriman wang haram di sekitar Klang, Selangor dan Brickfields, di sini berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia, pada Khamis lalu.
Susulan itu, 10 warga asing ditahan dan merampas wang tunai berjumlah RM3,62 juta, mata wang asing bernilai Euro 1400 , Yuan 10,000 dan pelbagai barang perhiasan dipercayai emas hasil aktivit tersebut.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tangkapan dilakukan melibatkan lapan lelaki warga India dan dua wanita Indonesia berusia 21 hingga 57 tahun.
Katanya, serbuan bermula jam 3.45 petang itu melibatkan pihaknya dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) serta dibantu pegawai CyberSecurity Malaysia.
“Pasukan diatur gerak ke tiga lokasi premis perniagaan di Klang dan menahan tiga lelaki warga India termasuk ‘dalang utama’, dan dua wanita warga Indonesia.
“Satu lagi serbuan di sebuah premis kediaman di sekitar Brickfields dipercayai menjadi pusat pengumpulan hasil pengendali perniagaan pengiriman wang haram.
“Dalam serbuan itu, kita menahan seorang lelaki warga India dipercayai sebagai ‘ahli sindiket’ bersama empat lagi lelaki rakan senegaranya,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, modus operandi sindiket itu adalah menawarkan perkhidmatan wang tanpa lesen yang sah dan menyasarkan warga Indonesia dan India sebagai pelanggan.
“Sindiket ini menjalankan kegiatan mereka di sebalik kedai runcit dan kedai makan bagi mengaburi pihak berkuasa, malah dipercayai menerima RM15,000 hingga RM60,000 sehari.
“Mereka juga boleh memperoleh hingga mencecah RM110,00 pada musim perayaan dan wang ini dihantar ke luar negara terutama Indonesia serta India,” jelasnya.
Katanya lagi, sindiket itu dikesan telah beroperasi selama setahun dan menggunakan barangan kemas yang dibawa ke luar negara sebagai proses penghantaran kiriman wang haram tanpa melalui sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi.
Beliau juga memaklumkan kesemua suspek warga asing yang terlibat telah dibawah ke Depot Imigresen Semenyih bagi tindakan lanjut.
“Tujuh suspek lelaki warga India termasuk dua wanita warga Indonesia akan ditahan di bawah Sekyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“Tiga lagi suspek warga India disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Sekyen 4(1) Akta Perkhidmatan Perniagaan Wang 2011 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001,” ujarnya. – MalaysiaGazette