Gambar hiasan

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menggantung sementara tugas empat imam di negeri ini ekoran aduan tidak membacakan teks Khutbah Jumaat yang disediakan jabatan itu pada 31 Januari lalu.

Timbalan Pengarah JAIPk, Zakaria Abd Razak berkata, tindakan yang mula berkuat kuasa 6 Februari itu melibatkan imam masjid di Parit Buntar, Kuala Kangsar serta masing-masing dua di Teluk Intan.

Katanya, ketetapan yang diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib JAIPk dan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Masjid Negeri Perak 2018 itu turut melibatkan sekatan elaun perkhidmatan.

“Tempoh gantung tugas ini bergantung kepada tarikh Jawatankuasa Tatatertib bersidang, kita jangka dalam masa dua minggu lagi.

“Oleh itu, kemungkinan pada awal Ramadan ini mereka akan bersidang bagi memutuskan sama ada imam terbabit akan ditamatkan perkhidmatan atau dikenakan tindakan tatatertib lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di Taman Tasek Jaya di sini, pada Ahad..

Hadir sama, Pengerusi Masjid Muhammadiah, Datuk Dr Fadzil Cheah Abdullah.

Sementara itu Zakaria memaklumkan, hasil siasatan yang dijalankan pihaknya mendapati keempat-empat imam terbabit membacakan teks khutbah dari pihak berkuasa agama lain serta teks lama.

Jelas beliau, teks yang dibacakan adalah dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan teks khutbah JAIPk pada tahun 2023.

Menurut beliau, antara alasan yang diberikan mereka susulan tindakan tidak membacakan teks Khutbah Jumaat disediakan JAIPk adalah kerana tidak dapat menggunakan komputer bagi mendapatkan teks khutbah minggu berkenaan.

“Lazimnya, teks khutbah memang disediakan di mimbar dan jika ada yang membawa sendiri dalam poket atau mempunyai teks lain, kesalahan itu sudah tentu nampak ketara.

“Justeru pada masa akan datang, kita minta pengerusi masjid dan jawatankuasanya memantau perkara ini dengan memastikan teks khutbah sebenar yang perlu dibaca,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, isu melibatkan teks khutbah tersebut turut mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mahu agar tindakan tegas diambil terhadap pihak terlibat.

Jelas Zakaria, baginda menyifatkan individu yang berperanan sebagai imam dan pegawai masjid seharusnya perlu menjalankan tugas serta peranan sebagaimana ditetapkan dalam peraturan.

“Pentauliahan dan watikah sebagai imam ini, semuanya disampaikan oleh Tuanku. Jadi sudah tentulah baginda dukacita dan minta tindakan tegas dibuat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here