Anggota forensik PDRM membuat siasatan dan pemeriksaan di sekitar kawasan tembakan yang dilepaskan seorang lelaki warga tempatan malam tadi di pusat beli belah terkemuka di Setia Alam, Selangor. Foto MALAYSIA GAZETTE, 09 FEBRUARI 2025.

SHAH ALAM- Seorang pekerja pembersihan mengalami kecederaan di bahagian kaki dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam di sini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata mangsa seorang warga asing berusia lingkungan 30-an itu telah dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan dan dilaporkan stabil.

Beliau berkata suspek yang juga warga tempatan  dipercayai tiba di pusat beli-belah itu lebih kurang 10 malam dan menuju ke arah mangsa sebelum melepaskan tembakan.

“Polis percaya sekurang-kurangnya lapan das tembakan telah dilepaskan suspek terhadap mangsa menggunakan pistol,” katanya ketika dihubungi Bernama.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/02/08/polis-sahkan-kejadian-tembakan-di-pusat-beli-belah-di-setia-alam/

Selepas melepaskan tembakan, suspek kemudiannya melarikan diri dengan menahan sebuah kenderaan dan memaksa pemandu kenderaan itu membawanya keluar dari kawasan terbabit.

“Suspek kemudian memaksa pemandu itu menurunkannya di tepi jalan sekitar Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan pemandu terbabit kemudiannya membuat laporan polis,” katanya.

Berikutan itu katanya polis kini giat menjejaki suspek di lokasi terakhir dia dilihat.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata pasukannya baru tiba di lokasi.

“Ya betul (berkenaan insiden tembakan) dan pasukan polis baru sampai di tempat kejadian, nanti saya (kongsikan) perkembangan kes,” katanya ketika dihubungi.

Tular di media sosial mengenai satu kejadian tembakan yang dikatakan berlaku di sebuah kedai emas di dalam sebuah pusat-beli belah di Setia Alam. -BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here