Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk Ainu Sham Ramli

PEKAN – Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) merekodkan nilai jualan sebanyak RM409.9 juta oleh hampir 7,000 usahawan berdaftar di seluruh negara pada tahun 2024.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk Ainu Sham Ramli berkata, jumlah itu meningkat dengan ketara berbanding pada tahun sebelumnya iaitu RM343 juta.

“Peningkatan ini hasil sokongan padu rakyat Malaysia dan kerajaan untuk mengguna pakai produk kraf Malaysia.

“Di Pahang juga menyaksikan hampir 40 peratus peningkatan. Tahun lepas hampir RM3.2 juta berbanding RM2.9 juta pada tahun 2023. Insya-Allah tahun ini kita harap jumlah itu akan meningkat,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Puteri Suraiya Afzan Mohammed Moiz bertemu penggiat Tenun Pahang Diraja di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) Tengku Ampuan Besar Meriam di Perkampungan Kraf Tunku Azizah, di sini hari ini.

Mengenai kewujudan produk kraf tiruan di pasaran, Ainu Sham berkata, pihaknya telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi memastikan keaslian produk yang dihasilkan usahawan Kraf Malaysia.

Katanya, usahawan ditawarkan untuk melalui proses penilaian dan pengelasan tahap sebelum mereka dibekalkan dengan pelekat logo produk Kraftangan Malaysia yang asli.

“Bila ada logo ini dikira sebagai pengesahan keaslian produk Kraftangan Malaysia. Logo ini tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Kalau guna untuk produk lain, kita boleh ambil tindakan.

“Apabila ada pelekat logo ini, tidak timbul masalah produk tenun tidak asli. Sebenarnya ia menimbulkan keyakinan kepada pembeli. Tidak perlu was-was.

“Sebab industri kraf ini kita kluster kepada lima bidang utama iaitu tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf,” jelasnya lagi.

Datuk Ainu Sham Ramli menunjukkan logo pelekat bagi produk Kraftangan Malaysia

Selain itu, terdapat beberapa inisiatif di bawah Kraftangan Malaysia yang memberi manfaat kepada belia yang berminat dengan industri ini untuk melanjutkan pelajaran secara formal peringkat sijil di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) mahupun di Kampus Institut Kraf Negara, Rawang.

Antara inisiatif itu ialah Program Inkubator, Program Pewaris iaitu program graduan bersama adi guru dan Tokoh Kraf Negara serta Program Perantisan Kraf yang ditawarkan kepada usahawan kraf untuk melatih meningkatkan kemahiran tenaga kerja yang akan ditempatkan dengan usahawan-usahawan ini.

Tambahnya, sehingga kini, terdapat seramai 63 orang graduan telah menamatkan tempoh dua tahun peringkat Sijil Tenun Pahang Diraja di IKTPD, di sini, manakala 13 lagi masih dalam tempoh pembelajaran.

“Buat masa ini kita sedang giat menjalankan kempen ‘Jom Masuk IKTPD’ untuk pengambilan baru bagi sesi di sini bermula pada bulan Julai ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here