MELAKA – Kerajaan negeri mengagihkan RM2.5 juta untuk kebajikan masyarakat Cina di negeri ini sekali gus membantu meringankan beban mereka.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia melibatkan seramai 5,812 penerima
bantuan merangkumi pembangunan ekonomi dan sektor pendidikan komuniti itu.
Menurut beliau, populasi kaum Cina di Melaka hari ini mencatatkan seramai 203,400 orang, iaitu sekitar 19.42 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di Melaka.
“Walaupun, peratusannya kurang daripada 25 peratus, namun sumbangan komuniti Cina dalam pembangunan negeri Melaka amat besar nilainya.
“Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mana-mana komuniti, bahkan kita sentiasa mendengar denyut nadi mereka untuk diberi perhatian dan bantuan sewajarnya,” katanya.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/FB_IMG_1739060585923.jpg)
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Negeri Melaka di perkarangan Malim Food Town, Taman Malim Jaya, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata setiap tahun, kerajaan negeri menyalurkan sumbangan khas berjumlah RM200,000 kepada 1,000 penerima yang layak.
“Bantuan disalurkan menerusi Tabung Amanah Kebajikan Negeri Melaka bagi meringankan beban masyarakat Cina untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
“Hasrat utama kita adalah sentiasa mendahulukan keperluan rakyat sehingga ke akar umbi tanpa mengira latar belakang bagi memastikan kebajikan rakyat Melaka
sentiasa terpelihara dan sejahtera,” tambahnya.
Majlis itu dihadiri lebih 15,000 pengunjung berbilang kaum bagi memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina. – MalaysiaGazette