IPOH – Penghidap kanser dinasihakan supaya tidak menyendiri atau mengasingkan diri daripada masyarakat sebaliknya perlu tampil untuk mendapatkan sokongan sosial menerusi komuniti atau persatuan berkaitan.
Pengerusi Persatuan Sahabat Pejuang Kanser Negeri Perak, Roshila Mohd Rozlan berkata, mereka sememangnya memerlukan bimbingan daripada sudut fizikal dan mental bagi melawan penyakit berkenaan.
“Pesakit kanser yang berjuang secara bersendirian lazimnya akan mudah patah semangat dan tidak mahu menjalani apa-apa rawatan.
“Sebaliknya, jika mereka bersama dengan satu-satu komuniti pesakit kanser, mereka akan mudah dibantu dalam menjalani kehidupan normal, dan akhirnya boleh bangkit serta sembuh sepenuhnya.
“Seperti saya, sudah enam tahun doktor memaklumkan bahawa saya bebas daripada penyakit kanser payudara,” katanya.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/MGF09022025_SEMINAR-MOTIVASI-JALINAN-KASIH-SAHABAT-PEJUANG-KANSER-II-1.jpg)
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Seminar Motivasi Jalinan Kasih Sahabat Pejuang Kanser di sini, pada Ahad.
Menurut Roshila, sokongan sosial penting dalam memastikan pesakit kanser mendapat bantuan sewajarnya seperti dalam hal pengurusan psikologi, bimbingan kesihatan dan sebagainya.
Kata beliau, melalui komuniti atau persatuan, mudah untuk mereka memperoleh sebarang maklumat tepat dalam membantu mereka terus menempuh cabaran hidup yang dihadapi.
Jelas beliau, mereka juga perlu menangkis stigma negatif terhadap penyakit berkenaan, sebaliknya kanser sebenarnya dapat disifatkan sebagai satu permulaan kehidupan sebagai seorang hamba kepada Penciptanya.
“Kanser tidak membunuh, sebaliknya tekanan perasaan atau kemurungan itu yang membubuh. Oleh itu, setiap pesakit kanser perlu tampil bersama dengan persatuan kanser.
“Jangan berjumpa dengan orang yang tidak melalui pengalaman penyakit berkenaan, atau pihak yang bukan pakar.
“Sebaliknya, apabila bersama dengan persatuan atau komuniti, mereka akan dapat dibantu daripada pelbagai sudut, termasuk menjana pendapatan,” katanya lagi.
Mengulas tentang program Roshila berkata, Seminar Motivasi Jalinan Kasih Sahabat Pejuang Kanser itu dianjurkan bersempena dengan Hari Kanser Seduia yang disambut pada 4 Februari lalu.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/MGF09022025_SEMINAR-MOTIVASI-JALINAN-KASIH-SAHABAT-PEJUANG-KANSER-08.jpg)
Ujar beliau, ia dianjurkan sebagai memberi pendedahan dan informasi terkini tentang penyakit kanser di samping membantu para peserta menambah jaringan sokongan moral.
Jelas Roshila, organisasi bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 19 Ogos 2022 itu aktif dalam memberikan bantuan daripada segi moral dan fizikal kepada pesakit kanser yang memerlukan.
Sehingga kini Persatuan Sahabat Pejuang Kanser Negeri Perak dianggotai lebih daripada 100 individu termasuk dalam kalangan penghidap kanser, penjaga serta petugas kesihatan. – MG Perak