Gambar fail. Anwar Ibrahim tiba di Turkiye Presidential Complex, Bestepe, untuk bertemu dengan Presiden Erdogan di Ankara, Turkiye, 15 Februari 2023. foto PMO

KUALA LUMPUR – Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan akan mengadakan lawatan rasmi ke negara ini selama dua hari bermula esok.

Wisma Putra berkata, lawatan ini atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengukuhkan hubungan rapat antara kedua-dua negara yang terus berkembang berasaskan hubungan yang telah lama terjalin, terutamanya selepas penaiktarafan ke Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Julai 2022.

Erdogan akan diraikan dalam satu Istiadat Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra, diikuti dengan mesyuarat dengan Perdana Menteri.

Kemudian, kedua-dua pihak dijangka meneliti kemajuan hubungan CSP di antara Malaysia dan Turkiye, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, halal, kerjasama dalam bidang tenaga, pengurusan bencana, kesihatan, sains dan teknologi dan kesalinghubungan.

“Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, penganjuran Forum Diplomasi Antalya 2025 buat kali keempat oleh Turkiye, Islamofobia dan perjanjian gencatan senjata terkini di Gaza,” kata kementerian itu hari ini.

Kedua-dua pemimpin kemudiannya akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman, Perjanjian dan Nota sebelum mengadakan sidang akhbar bersama.

Malah satu jamuan tengah hari yang dihos Perdana Menteri bagi meraikan Erdoğan juga akan diadakan di Kompleks Seri Perdana.

Esok, Erdogan akan diberi penganugerahan doktor kehormat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Canselor Universiti Malaya (UM) yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa kepada Erdogan.

Penganugerahan ini satu penghormatan tertinggi UM terhadap sumbangan penting beliau dalam bidang diplomasi global, perundingan antarabangsa serta hubungan geopolitik.

Selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia komited untuk mengukuhkan integrasi serantau dan menjalin kerjasama melangkaui rantau ini, manakala Türkiye, sebagai Rakan Dialog Sektoral ASEAN, berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan penting dalam memajukan keutamaan ekonomi ASEAN.

Turkiye telah menjadi Rakan Dialog Sektoral ASEAN pada tahun 2017, dengan bidang kerjasama praktikal antara ASEAN-Türkiye (2024-2028) berfungsi sebagai kerangka untuk kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Pada tahun 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan destinasi import keempat terbesar dari rantau Asia Barat.

Pada tahun 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Turkiye meningkat sebanyak 18.7% kepada RM24.13 bilion (AS$5.28 bilion) dari tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here